Wenger tak gusar

Posted: April 22, 2011 in Arena Sukan

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendakwa buruan takhta Liga Perdana masih terbuka walaupun pasukannya mengalami satu lagi tamparan selepas menyerahkan pendahuluan dua gol untuk seri 3-3 di Tottenham, awal pagi semalam.

Arsenal mendahului 3-1 sehingga lima minit sebelum rehat di White Hart Lane dan seperti ketika bertemu Liverpool apabila lawan bangkit pada minit-minit akhir masa kecederaan untuk mencuri satu mata, situasi sama turut dialami Gunners, kali ini apabila membiarkan mereka diikat Spurs.
Rafael van der Vaart menjaringkan penalti untuk membolehkan Tottenham meraih satu mata yang menyaksikan Arsenal kini enam mata di belakang pendahulu Manchester United dengan baki lima perlawanan.

Keputusan seri turut bermakna Arsenal kini jatuh ke tempat ketiga liga berikutan kemenangan Chelsea di gelanggang sendiri ke atas Birmingham.
Mengenai pemburuan takhta itu Wenger berkata: “Ia masih terbuka. Kami perlu bersedia untuk perlawanan selepas ini dan bermain habis-habisan seperti mana yang kami pamerkan sebelum ini.
“Pasukan ini mempunyai sikap menakjubkan, mereka begitu konsisten. Saingan masih lagi terbuka dan terpulang kepada kami untuk terus berjuang.

“Perlawanan itu begitu sukar, jika bermain biasa-biasa, kami mungkin tidak dapat meraih sebarang mata.
“Kami sudah mengharungi 16 perlawanan tanpa kalah, tapi akhir-akhir ini kami tidak mendapat mata mencukupi kerana terlalu banyak seri. Itu yang kami mahu tukarkan pada penghujung musim.

“Walaupun kami mendahului 3-1 pada suatu ketika, kami tetap gagal memenangi perlawanan itu, tapi segala-galanya tidak begitu negatif. Selepas apa yang berlaku kepada kami Ahad lalu, kami bangkit dengan semangat yang menunjukkan pasukan ini mempunyai mentaliti luar biasa.” Perlawanan itu berlangsung dengan pantas dan Theo Walcott membuka jaringan untuk pasukan pelawat selepas hanya lima minit.
Van der Vaart menyamakan kedudukan lima minit selepas itu sebelum Samir Nasri dan Robin van Persie kembali menggegar untuk Arsenal.
Tom Huddlestone membalas sejurus sebelum rehat dan kemudian penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny menjatuhkan Aaron Lennon di kotak penalti pada minit ke-70 yang membawa kepada jaringan Van der Vaart.
Pengurus Tottenham, Harry Redknapp, yang keputusan seri itu sendiri memberi kesan kepada impiannya untuk berada di kedudukan terbaik bagi tempat di Liga Juara-Juara, menganggap perlawanan itu ‘seronok ditonton.’ Beliau juga tampak tenang mengenai prospek sama ada Tottenham boleh menamatkan musim ini di kalangan empat pasukan teratas apabila berkata: Saya tidak tahu dan saya juga tidak kisah.” “Jika kami berjaya melakukan, ia sesuatu yang baik, jika tidak, kami akan cuba lagi tahun depan. Kami memang mahu melakukannya, sebab itu kami memberikan segala-galanya setiap kali beraksi. Tapi, jika kami gagal, kami akan cuba lagi tahun depan.” – AFP

SUMBER: myMetro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s