Kempen senyum selalu

Posted: April 22, 2011 in Berita Dalam Negara

PUTRAJAYA: “Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena pelancaran Kempen Amalan Senyum Perbendaharaan.

Menurutnya, kempen selama dua bulan itu berslogan Senyum Selalu selaras dengan usaha kerajaan mempergiatkan kempen amalan senyum kepada penjawat awam terutama kepada petugas agensi barisan hadapan, sekali gus memantapkan budaya mesra dan berbudi bahasa. “Saya berharap kempen ini tidak akan berakhir begitu sahaja selepas tamat tempoh kempen. Janganlah hendaknya kempen akan hanya tinggal kempen sahaja dan tidak dipraktikkan secara berterusan.
“Kita harus ingat senyum amalan sedekah paling mudah dilaksanakan sebagaimana sunnah Nabi Muhammad s.a.w,” katanya berucap melancarkan kempen itu pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan, di sini, semalam.

Pada majlis itu juga Najib mengumumkan penganugerahan pensijilan MS ISO 9001:2008 oleh Sirim kepada Perbendaharaan Malaysia membabitkan pelbagai bahagian dan unit, antaranya Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan serta Bahagian Analisa Cukai.
Sebelum itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, status sesebuah negara itu bukan jaminan untuk kekal berjaya jika dasar kewangan dan ekonomi tidak diurus dengan baik.
Menurutnya, negara yang sudah diiktiraf maju juga tidak menjamin negara itu tidak boleh terjerumus sebagai sebuah ‘failed state’ atau negara yang boleh dikatakan gagal dari segi menguruskan ekonomi dan dasar kewangan dengan baik.

Katanya, apabila sesebuah negara itu tergolong dalam kategori negara gagal, ia akan kehilangan maruah kerana terpaksa menagih bantuan kewangan daripada institusi kewangan antarabangsa.
“Ini akan mengakibatkan ketidaktentuan daripada segi dasar domestik yang akan membawa kepada beban berat kepada rakyat negara berkenaan,” katanya.

Sambil memberi contoh seperti Greece, Ireland, Sepanyol dan Portugal menghadapi masalah akibat dasar kewangan dan ekonomi yang gagal diurus dengan baik beliau berkata, keadaan itu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran menanganinya.
“Akibatnya, timbul kegelisahan di kalangan rakyat negara berkenaan apabila terpaksa terikat dengan syarat yang dikenakan oleh badan antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, bagi memastikan Malaysia tidak menghadapi masalah, kerajaan sudah menentukan pelan hala tuju dan landasan cukup jelas berpaksikan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Katanya, pelbagai projek di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dirangka supaya Malaysia terus berjaya.

SUMBER: myMetro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s