Lisdawati menang saman fitnah

Posted: March 7, 2011 in Artis dan Hiburan

GEMBIRA…Lisdawati bersama surat penghakiman menang kes saman fitnah.

 

KUALA LUMPUR: “Ini harga yang dia harus bayar atas apa yang berlaku pada saya selama ini,” kata pelakon Lisdawati selepas menang kes saman fitnah terhadap pelakon Siti Naziyah Sheikh Mustafar atau Nadia Mustafar yang difailkan sejak awal 2005.
Merujuk surat Penghakiman Ingkar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bertarikh 29 Julai 2010 dan diterima Lisdawati pada 15 Disember lalu, Nadia diperintahkan membayarnya ganti rugi RM250,000 bersama faedah lapan peratus setahun.

Lisdawati, 32, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin sambil ditemani suami, Fauzi Nawawi mengadakan sidang media menjelaskan keputusan mahkamah itu semalam selepas Nadia tidak memberi maklum balas terhadap perintah dikeluarkan.
“Saya mahu mempertahankan maruah diri dan keputusan ini membuktikan apa yang dikatakannya ke atas saya dulu adalah fitnah,” katanya.

Menurutnya, fitnah terhadapnya itu berlaku penghujung 2003 dengan dakwaan kononnya dia meminjam sejumlah wang Nadia tanpa membayar semula dan mempunyai hubungan sulit dengan produser atau pengarah untuk mendapat tawaran berlakon.

Atas tekanan fitnah yang dihadapi selama setahun, Lisdawati mengambil tindakan mahkamah menerusi peguam, Karpal Singh.

“Fitnah ini menjejaskan maruah, pendapatan dan kepercayaan orang lain pada saya hingga ketika itu saya terpaksa ditamatkan kontrak awal sebagai duta satu jenama pakaian terkenal dan digugur selepas menjalani uji bakat berlakon.

“Selama ini saya berdiam diri tetapi dengan keputusan mahkamah ini saya perlu bersuara untuk membersihkan nama saya.

“Saya tidak pernah pinjam satu sen pun daripadanya. “Saya harap dia berjumpa dengan peguam saya untuk selesaikan perkara ini,” katanya.

Malah, Lisdawati menyatakan dia pernah melakukan ujian pengesahan dara sebanyak dua kali di hospital swasta untuk membuktikan dirinya menjadi mangsa fitnah.

“Saya menunjukkan surat doktor itu sebagai bukti kepada peguam saya. Sebelum memfailkan saman, saya terlebih dulu membuat laporan polis pada pertengahan 2004.

“Pada awal 2005, saya mengambil tindakan mahkamah selepas nama saya disebut menerusi media. Bukan saya yang meletakkan harga tuntutan ini tetapi peguam yang tentukan.

“Apapun, saya tidak mempunyai masalah dengannya dan apa yang saya lakukan adalah mahu mempertahankan maruah diri,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s