ROME: Jaringan babak pertama pemain baru, Alessandro Matri menghadiahkan Juventus kemenangan berharga 1-0 ke atas Inter Milan, semalam, sekali gus memberi tamparan hebat buat pasukan lawan yang memburu kejuaraan scudetto kali keenam berturut-turut.
Tandukan penyerang Itali itu pada minit ke-30 melengkapkan penguasaan Juventus pada perlawanan itu sekali gus menyaksikan Leonardo mengalami kekalahan kedua sejak mengambil alih tugas jurulatih Inter daripada Rafa Benitez.
Inter kekal di tangga keempat, lapan mata di belakang pendahulu, AC Milan yang menumpaskan Parma, 4-0, kelmarin, tapi beraksi kurang satu perlawanan manakala Juve pula melonjak ke tangga keenam.
Lazio merekod kemenangan pertama di tempat lawan sejak Oktober lalu dengan mengalahkan pasukan tangga bawahan Brescia 2-0 untuk menduduki tangga ketiga.
Udinese dan Fiorentina turut melakar kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini. Cagliari, Sampdoria dan Catania pula menang di depan penyokong sendiri.
Jurulatih Juventus, Gigi Del Neri berkata, pemain menunjukkan kesungguhan untuk mencapai kemenangan. “Kami mahu menang perlawanan itu. Januari bulan yang sukar, kami berdepan masalah kecederaan pemain namun ini pasukan yang bagus dan kami boleh melangkah lebih jauh andai mengekalkan semangat dan keinginan seperti ini,” katanya.
Sumber: myMetro