Kejutan buat Eminem, Bieber

Posted: February 15, 2011 in Artis dan Hiburan

KIRI: Milik kami. Para anggota kumpulan Arcade Fire meraikan kemenangan mereka merangkul Anugerah Album Tahun Ini.

 

DIA meraih pencalonan terbanyak, namun dia juga yang kalah dengan banyaknya! Entah kenapa raut wajah Eminem tampak seolah-olah seperti sedang cuba menyembunyikan debaran, keresahan dan kerisauan dalam dirinya. Langsung dia tidak kelihatan teruja.

Ia terserlah ketika dia naik ke pentas sewaktu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Rap Solo Terbaik.

Persoalan itu seolah-olah terjawab usai majlis Anugerah Grammy ke-53 yang di Staples Center di Los Angeles California, semalam.

Ini kerana daripada kesemua 10 pencalonan yang diraihnya, dan selain Anugerah Persembahan Rap Solo Terbaik, Eminem hanya mampu menang satu lagi anugerah iaitu Album Rap Terbaik.

Ini bermakna dia kalah dalam kesemua pencalonan bagi anugerah utama!

Justeru, adakah Eminem sudah dapat merasakan bahawa dia tidak akan menang banyak anugerah, khususnya untuk anugerah utama?

Ia sesungguhnya suatu kejutan mega buat umum, malah buat Eminem sendiri!

Keputusan Grammy kali ini sememangnya benar-benar di luar jangkaan apabila anugerah tertinggi Grammy iaitu Album Tahun Ini dimenangi kumpulan Arcade Fire yang sebelum ini hanya meraih tiga pencalonan.

Bagi anugerah tersebut, Arcade Fire yang kalah dalam dua pencalonan lain berjaya mengalahkan empat pesaing sengitnya iaitu Lady Gaga, Katy Perry, Eminem dan kumpulan Lady Antebellum.

Ia sesungguhnya suatu kejutan memandangkan Arcade Fire sudah dijangka akan kalah kepada salah seorang daripada empat pesaingnya itu terutama Lady Antebellum yang sebelum itu diumumkan sebagai pemenang lima anugerah lain.

Lady Antebellum sekali gus merupakan artis paling banyak meraih anugerah pada Grammy kali ini!

“Kami akan terus menghasilkan lagu-lagu terbaru kerana kami sukakan muzik,” ucap vokalis Arcade Fire, Win Butler penuh teruja selepas naik ke pentas bersama anggota lain kumpulan itu untuk menjulang trofi yang disampaikan penghibur legenda, Barbra Streisand.

 

Gimik luar biasa

Kejutan pada tahap yang sama juga berlaku dalam kategori Artis Baru Terbaik

AKSI hebat persembahan Jaden Smith (kiri) dan Justin Bieber di pentas.

 

Ini kerana ramai yang menjangka ia akan dimenangi ikon popular masa kini, Justin Bieber atau setidak-tidaknya rapper Drake yang turut tercalon dalam kategori itu.

Namun, anugerah tersebut muktamad menjadi milik penyanyi dan pemuzik jazz, Esperanza Spalding yang merupakan salah seorang penyanyi pujaan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Bieber merupakan antara calon terkuat dijangka menang anugerah tersebut. Ini kerana dia turut tercalon bagi kategori Vokal Album Pop Terbaik yang turut gagal dimenanginya apabila dia dikalahkan oleh Lady Gaga!

Bieber yang membuat persembahan di pentas Grammy kali ini bersama anak bujang aktor Will Smith iaitu Jaden Smith, selain turut berduet dengan mentornya, Usher bagaimanapun menerima dengan terbuka kekalahannya itu.

“Saya tumpang gembira untuknya (Esperanza Spalding), dan berharap ini tahun yang baik buat kariernya,” ulas Bieber.

Spalding,26, dalam pada itu ketika diminta mengulas kejayaannya menewaskan Bieber berkata, Bieber dan peminat penyanyi berusia 16 tahun itu tidak sepatutnya kecewa dengan perkara itu.

“Lagipun saya dan Bieber mempunyai persamaan iaitu rambut kami sama-sama hebat,” ujarnya berjenaka.

Namun, tiada yang dapat menandingi kehebatan Lady Antebellum yang dianggotai trio Charles Kelley, Dave Haywood dan Hillary Scott pada Grammy kali ini.

Bukan sekadar memonopoli dengan lima kemenangan daripada enam pencalonan yang diraih mereka, dua daripada kemenangan itu adalah untuk dua anugerah utama iaitu Rekod Tahun Ini dan Lagu Tahun Ini.

“Kami tidak mungkin lagi akan kembali mengalami momen seperti ini (menang lima anugerah) dalam karier muzik kami,” ulas Kelley.

“Kami kini sepenuhnya terapung-apung. Kami kini di atas awan,” ucap pula Scott.

Lady Gaga yang membuat gimik luar biasa pada acara karpet merah dengan bersembunyi di dalam kapsul ‘telur’ gergasi yang diusung empat lelaki gagah serta diiringi seorang wanita tinggi lampai pula merangkul tiga anugerah termasuk Anugerah Vokal Album Pop Terbaik.

Selain itu, penyanyi lain yang menang lebih daripada satu anugerah termasuklah David Frost, Jay-Z, John Legend, Alicia Keys, Usher, The Black Keys. Herbie Hancock, The Roots, T-Bone Burnett dan Bebe and Cece Winans.

Majlis anugerah dimeriahkan dengan persembahan hebat antaranya oleh Katy Perry, Lady Gaga, Rihanna, Mick Jagger, Muse, Eminem dan Lady Antebellum. – YUSMAN AWANG

 

Sumber: KOSMO!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s